Marina, Ilyani, Adeeba dan LGBT. Apa Kiblat Kita? Saya pernah geram dan memberontak apabila seorang Profesor pernah berkata, “agama itu umpama kot putih, dan saya memilih untuk tidak memakai kot putih sewaktu merawat pesakit.” Bukankah agama sepatutnya menjadi payung dalam proses seorang doktor mengemudi jalan perubatan yang sentiasa dilanda hujan dan taufan? Akan tetapi, dunia hari ini sentiasa bercanggah dengan agama. Ia adalah jalan yang terbahagi kepada dua simpang dan tidak lagi bertembung keduanya. Tidak juga bergerak selari antara satu sama lain sebaliknya bersimpang-siur tanpa dapat diduga penghujungnya. Menyedihkan, dunia didominasi oleh kaum yang minoriti. Istilah yang disebut sebagai dominant minority ini dilihat berjaya mempengaruhi politik,ekonomi atau dominasi sosial sesebuah negara sekalipun hanya mewakili segolongan kecil penduduk. Hal yang sama berlaku apabila isu LGBT diteriak dan ditempik dengan penuh gegak-gempita. Walaupun belum ada statistik tepat tentang jumlah golongan LGBT di Malaysia, tetapi kajian Pew Research Center pada tahun 2013 contohnya menunjukkan hanya 9% rakyat Malaysia bersetuju agar homoseksualiti diterima masyarakat berbanding 86% penolakan. Ini bererti bahawa ieologi LGBT tidak diterima masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Saya sendiri berdiri di persimpangan. Lama termenung, berharap agar tiada lori datang merempuh dan membinasakan diri ini dek kerana terlalu lama memilih jalan pilihan dalam isu ini. Di sebelah kanan simpang adalah agama dan nilai kebudayaan timur yang menentang amalan LGBT. Di sebelah kiri simpang adalah rintihan rakan-rakan rapat yang mengamalkan gaya hidup LGBT dan juga kehidupan seksual secara bebas. Mereka merintih akan ketidakupayaan mereka untuk menjadi Si Pencinta yang mampu mencurahkan rasa kasih sayang mengikut tatacara kehidupan, selari dengan lumrah alam. Yang jantan mencari yang betina, lalu berhubungan intim dan menghasilkan generasi baru. “Naim, I tried to love a guy. I just can’t do it. It only hurted me more and more. I’m depressed and suicidal.” – sebagai seorang Islam, adakah saya menderhaka dengan agama apabila bersimpati dan merestui perbuatan ini? Sekalipun ratusan artikel atau pendirian menentang gerakan ini, ia tetap membawa kepada penubuhan aliran agama seperti kristian dan minoriti Islam untuk membenarkan perkahwinan LGBT. Bahkan, beberapa buah negara turut akur dengan desakan ini lalu menerima LGBT sebagai satu gaya hidup yang normal? Adakah Malaysia akan menjadi benteng terakhir dunia dalam membendung budaya LGBT? Atau kita juga akhirnya akan tunduk pada desakan dominant minority, lalu mengubah kiblat negara kita. Undang-undang seks luar tabii mungkin terpaksa diubah dan seks melalui punggung dan mulut bakal menjadi halal tanpa was-was. Sekalipun, ia sebenarnya tetap dilakukan pada masa kini oleh Sang Pencari Nikmat sedang masih berstatus haram di bawah Seksyen 377B dan 377C Kanun Keseksaan Undang-undang Jenayah Malaysia. Berbalik kepada isu yang kecoh sekarang, saya faham Marina cuba mewakili 9% rakyat Malaysia dalam memperjuangkan ketidakadilan dan penindasan terhadap golongan LGBT. Mereka didiskriminasi dari mendapatkan pekerjaan, dibuli di Pusat Pengajian Tinggi, dilontar batu dan diudah liur oleh masyarakat. Maka sebagai seorang Islam, kita seharusnya berdiri senada dengan Marina bagi menghentikan penindasan. Bukan hanya dalam isu ini bahkan Marina turut harus berdiri untuk hentikan diskriminasi terhadap pekerja muslim yang diharamkan memakai tudung sewaktu bekerja. Rintihan pramugari Air Asia dan MAS yang kecewa kerana terpaksa memakai baju ketat dan kain belah sehingga peha juga harus diperjuangkan. Akan tetapi, hujah yang dikemukakan oleh Dr Ilyani, mewakili 86% suara rakyat Malaysia juga tidak harus dipandang enteng. Doktor perubatan seperti Syamirul Rahim mungkin tidak bersetuju tentang hujah berkenaan pendermaan darah yang dilihat bersifat stigma, ia sebenarnya tetap dikira sebagai satu hujah yang valid. Bukan hanya LGBT, bahkan mereka yang mengamalkan gaya hidup seks secara bebas dan juga lelaki yang melakukan liwat terhadap wanita. Kesemua ini membawa kepada risiko untuk mendapat HIV dan AIDS. Saya tidak melihat artikel tulisan Dr Ilyani mendiskriminasi golongan LGBT. Beliau sendiri telah menyatakan nilai profesionalisma beliau dalam bertugas, “Sehingga kini walaupun pesakit yang hadir mendapatkan rawatan dari saya tergolong dari kalangan LGBT, saya tetap melayan mereka sebagai pesakit dan memberikan rawatan yang terbaik buat mereka. Apatah lagi jika mereka berada di hujung usia. Maka, hak apakah yang sedang anda perjuangkan?” Persoalan Dr Ilyani adalah berasas dan sepatutnya dijawab oleh para pejuang golongan LGBT. Hak apa yang mereka mahukan sebenarnya? Jika sekadar hak untuk mendapatkan rawatan, kerajaan Malaysia sudah cuba sedaya upaya untuk membantu mereka mendapatkan rawatan. Kosnya sangat mahal. Untuk ubat Anti Retroviral Therapy, ia berharga sekitar RM 1500 – 2100 untuk setiap pesakit bagi setiap bulan. Dianggarkan, 1500 pesakit berbanding 4000 pesakit HIV berisiko untuk mendapat komplikasi AIDS sedang dirawat oleh Kerajaan Malaysia. Dr Ilyani mau hak golongan majoriti di Malaysia terpelihara. Bebas dari unsur negatif berasaskan LGBT. Beliau juga bimbang dengan kecenderungan golongan aktivis yang menormalkan gerakan LGBT. Oleh itu saya bertanya kepada dunia, apakah kesalahan Dr Ilyani hingga dikecam dengan sebegitu hebatnya? Adakah kerana dia menggunakan gelaran doktor? Professor Adeeba menghentam Dr Ilyani dengan sangat hebatnya. Seorang profesor, dekan dan juga Timbalan Pengerusi Majlis AIDS Malaysia. Semestinya beliau adalah guru kepada sebilangan besar doktor di Malaysia. Sebagai cikgu, tak salah jika beliau mendidik kesalahan Dr Ilyani yang sedikit tersasul dalam berhujah secara umum. Akan tetapi, saya gagal menemui hujah akademik yang relevan melalui penulisan beliau. Sekadar hanya melaungkan Hippocratic Oath yang sebenarnya ditolak oleh sebilangan besar doktor Muslim kerana melafazkan ikrar terhadap para Tuhan Penyembuh Yunani Kuno. Bagi saya, ia adalah satu penulisan berisfat buli dari seorang Doktor Pakar terhadap Pegawai Perubatan yang dibuat secara terbuka di media sosial. Sebagai seorang pakar, beliau gagal memahami konsep pencegahan penyakit berjangkit dengan mengeluarkan kenyataan “…. And even worse, a doctor like you who makes this epidemic rose, because you defer people from coming forward for help and treatment.” Antara prinsip paling utama pencegahan penyakit berjangkit adalah melalui kaedah pengawalan dan pencegahan punca penyakit. Kerana itu kita lihat begitu banyak ladang babi dimusnahkan demi mencegah wabak Nipah. Juga ladang-ladang ayam dimusnahkan demi mencegah virus selesema burung sekalipun hanya beberapa ekor ayam disahkan positif selesema burung. Kita hari ini tidaklah sampai ke tahap mahu bakar semua golongan LGBT kerana menyumbang kepada peratusan peningkatan HIV di Malaysia terutamanya golongan Men who have sex with Men, (MSM). Pendekatan kita adalah seperti kita menyantuni masalah komplikasi rokok. Ada kampen kesedaran, ada klinik berhenti merokok dan ada kampen mencegah kanak-kanak dari merokok. Dr Ilyani bernada tegas untuk mencantas punca HIV di Malaysia iaitu dengan cara tidak bersetuju dengan agenda LGBT di Malaysia. Saya rasa, Dr Adeeba pasti setuju dengan saya bahawa antara faktor kenapa golongan MSM banyak mendapat HIV adalah kerana mereka berkongsi pasangan dan virus HIV cenderung untuk hidup lebih lama dalam dubur. Jika mereka mencari kesedapan, adakah kesemua golongan gay ini mahu memakai kondom? Sekalipun dipakai, ia tidak 100 peratus mencegah HIV dan AIDS. Beliau juga cukup bangga mengatakan bahawa rawatan pada kini membolehkan pesakit mempunyai paras viral load sifar selepas diberi rawatan ART. Perkara asas yang perlu diketahui oleh para doktor perubatan adalah untuk menilai ketepatan sesuatu ujian. Mungkin Profesor boleh jelaskan dengan lebih lanjut tentang sensitivity, specificity dan likehood ratio untuk ujian yang dijalankan. Saya rasa, pasti doktor lain bersetuju akan limitasi ujian ini. Keputusan viral load yang sifar boleh sahaja disebabkan ujian itu mengandungi ralat atau ada faktor yang mengahalang RNA virus dikesan oleh ujian. Mungkin Profesor juga boleh terangkan dengan lebih jelas lagi kebimbangan saintis dunia akan kadar resitance virus HIV terhadap ART yang salah satunya adalah disebabkan ketidakakuran dengan jadual pemakanan ubat ART. Selain dari faktor kos, kesan sampingan ART sangat hebat dan ada pesakit yang tidak boleh mengambilnya disebabkan kesan sampingan yang teruk. Selain itu, nilai viral load yang rendah juga akan meletak seorang itu dalam status pembawa HIV yang stabil. Tapi ia tidak menyembuhkan bahkan banyak kajian menunjukkan bahawa ia boleh kembali aktif (re activation). Maka dalam kes ini, kita kembali kepada prinsip pencegahan penyakit berjangkit yang utama iaitu, mencegah lebih baik dari mengubati. Sebagai manusia, kita juga harus kembali kepada fitrah kejadian manusia. Usah dibangga dengan golongan minoriti yang terang-terangan salah. Pada masa sama, kita sama-sama dekati golongan ini. Kita hormati keputusan mereka jika mahu mengamalkan LGBT. Tetapi ia tidak seharusnya menjadi pendesak untuk kita ubah halatuju negara dan undang-undang berkaitan LGBT. Sebagai doktor, tugas kita bukan hanya merawat HIV dan AIDS tetapi juga menghalang punca kepada penyakit ini dari terus menular. Kita sambut para pesakit HIV dan AIDS dengan tangan terbuka dan penuh kasih-sayang. Kita rawat mereka dengan penuh profesional dan dedikasi. Tapi itu bukan bermakna kita harus merestui perbuatan mereka. Bukan hanya LGBT yang harus dibendung kerana membawa kepada HIV dan AIDS tetapi juga amalan seksual bebas tanpa perlindungan, perkongsian jarum suntikan, amalan tranfusi darah tidak selamat, terapi ozon dan sebagainya. Sang Pencari Ilmu: Dr Jacknaim. Rujukan 1. Wikipedia: Dominant Minority. https://en.wikipedia.org/wiki/Dominant_minority 2. Wikipedia: LGBT rights in Malaysia, https://en.wikipedia.org/wiki/LGBT_rights_in_Malaysia. 3. Towards affordable HIV drugs, The Star, National Pharmacy News. 18 May 2003. http://www.mps.org.my/newsmaster.cfm?&menuid=36&action=view&retrieveid=422 4. Facebook Dr Adeeba 5. FB Status Dr Ilyani.


By azlinda2

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s