Konsesi penswastaan UiTM, kroni untung rakyat rugi


Konsesi penswastaan UiTM, kroni untung rakyat rugi

MUHAMMAD FAIZAL | 12 Jun 2014.

KUALA LUMPUR: Salah satu belanja besar yang dimasukkan di dalam Belanjawan Tambahan kali ini ialah bayaran sewa tahunan kepada pemegang konsesi bagi enam kampus cawangan Universiti Teknologi Maran (UiTM) di seluruh negara.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, pada tahun 2014, pemegang-pemegang konsesi ini akan menerima bayaran sewa sebanyak RM234 juta seperti yang dipohon di dalam Belanjawan Tambahan yang sedang dibahaskan.

“Saya telah membidas kaedah pembiayaan melalui sistem konsesi untuk membina kampus-kampus cawangan UiTM dalam sesi-sesi perbahasan yang lepas,” ujarnya pada sidang media di lopi parlimen.

Menurutnya, dalam jawapan Parlimen sebelum ini yang bertarikh 10 April 2014, Perdana Menteri mengakui bahawa:

1. Di antara tahun 2009 hingga 7 Mac 2014, 6 syarikat telah dilantik sebagai pemegang konsesi untuk membina 6 kampus cawangan UiTM di Pasir Gudang (Johor), Jasi (Melaka), Seremban II (Negeri Sembilan), Puncak Alam (Selangor), Tapah (Perak) dan Kota Samarahan (Sarawak).

2. Kos untuk membina setiap kampus ini hanyalah di antara RM280 juta ke RM315 juta.

3. Walau bagaimana pun,  kerajaan telah menandatangani perjanjian konsesi selama 23 tahun dan bersetuju membayar sewa tahunan di antara RM56 juta sehingga RM69 juta setiap satu.

Tambahnya, ini bermakna Kerajaan Persekutuan selepas ini terpaksa menanggung bayaran konsesi tahunan yang dianggarkan berjumlah RM375 juta setahun (mengambil sewa tahunan purata setiap kampus sebanyak RM62.5 juta untuk 6 kampus cawangan) selama 23 tahun.

Menurutnya lagi, jumlah keseluruhan bayaran konsesi tahunan ini kepada 6 syarikat terbabit selama 23 tahun adalah RM8.6 bilion yang akan ditanggung oleh rakyat.

Sedangkan, katanya kos untuk membina 6 kampus cawangan ini dianggarkan hanyalah sebanyak RM1.8 bilion sahaja (mengambil kos purata iaitu RM298 juta setiap kampus untuk 6 kampus cawangan) sekiranya Kerajaan Persekutuan membinanya tanpa diswastakan kepada syarikat-syarikat melalui sistem konsesi.

“Ini bermakna, sistem konsesi yang sedang rancak digunakan oleh Barisan Nasional untuk membina kampus-kampus UiTM adalah penerusan kepada sistem penswastaan yang memberi keuntungan besar kepada syarikat kroni dan menjadi bebanan besar kepada rakyat,” ujarnya lagi.

Dalam kes 6 kampus cawangan ini, kata beliau rakyat terpaksa menanggung bebaban kos sebanyak hampir 5 kali ganda lebih mahal (iaitu kos pembinaan kampus hanyalah RM1.8 bilion tetapi rakyat terpaksa membayar sewa tahunan sebanyak RM8.6 bilion kepada syarikat konsesi).

“Saya juga khuatir kerana bayaran sewa tahunan kepada syarikat konsesi ini bakal menjadi salah satu perbelanjaan terbesar yang bakal ditanggung oleh pengurusan UiTM,” katanya lagi.

Contohnya, kata Rafizi bagi tahun 2014, bayaran sewa konsesi sebanyak RM234 juta adalah 11% dari keseluruhan peruntukan kepada UiTM tahun ini iaitu sebanyak RM2.15 bilion.

Justeru, bermula Isnin depan, beliau akan perincikan siapakah sebenarnya yang memiliki syarikat-syarikat konsesi yang menerima konsesi penswastaan 6 kampus UiTM ini.

Katanya, mereka adalah pemimpin-pemimpin Umno sendiri atau kroni terkenal mereka yang rapat atau memegang jawatan di dalam Umno.

“Barulah rakyat dapat memahami bahawa Umno tidaklah membela UiTM seperti yang selalu dilaungkan, malah sekarang Umno menggunakan UiTM dengan cara membebankan UiTM dengan bayaran konsesi untuk mengkayakan pimpinan-pimpinan Umno dan kroni mereka,” ujarnya.

Raja-Raja Melayu perlu campur tangan kes bapa muallaf : DI MANA SENSITIVITI UMAT ISLAM??


Raja-Raja Melayu perlu campur tangan kes bapa muallaf

HARAKAHDAILY | 08 Jun 2014.

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) memohon Majlis Raja-Raja Melayu campur tangan dalam kes Ridzuan Abdullah,  seorang mualaf yang diarah Mahkamah Tinggi Ipoh menyerahkan anaknya Ummu Habibah yang dibesarkannya dengan pendidikan Islam kepada bekas isteri beragama Hindu , Indra Ghandi.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keputusan yang bercanggah antara Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh dan Mahkamah Tinggi Ipoh kini telah menyebabkan kedudukan pengIslaman dan hak menjaga tiga anak yang telah diIslamkan Ridzuan kini dalam keadaan tidak menentu.

“Salah seorang  anak yang dijaga sendiri oleh Ridzuan iaitu Ummu Habibah  sudah boleh mengamalkan solat dan membaca Al Quran .

“Ridzuan masih tidak mahu menyerah Ummu Habibah kerana patuh kepada keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh.

“Ridzuan telah mendapat keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menetapkan beliau berhak menjaga anak yang telah diIslamkan itu,” jelas Azmi.

Mapim kesal kerana kedudukan anak-anak Ridzuan yang telah diIslamkan kini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.

Menurut Azmi, hak hadhanah (penjagaan) dan pengIslaman anak-anak tersebut sepatutnya diputuskan oleh Hakim yang mempunyai latarbelakang pengetahuan Islam .

Tambah beliau, adalah tidak mungkin seorang Hakim bukan Islam dapat memahami perundangan Islam untuk menentukan kedudukan kes tersebut di Mahkamah Tinggi.

Mapim ujarnya menggesa masyarakat dan institusi keadilan negara agar menghormati keputusan Mahkamah Tinggi  Syariah Ipoh yang memutuskan Ridzuan sebagai penjaga anaknya.

“Kami berpendirian status keIslaman kanak-kanak itu perlu dihormati dan dipertahankan setelah beliau diperbesarkan dalam suasana Islam oleh bapanya sejak umurnya 11 bulan sehingga kini sudah mencecah umur 6 bulan.

“Keadaan yang sedia ada iaitu Ummi Habibah sudah mengamalkan budaya hidup Islam  bersama bapanya sangat perlu dihormati dan tidak perlu diganggu gugat,” kata Cikgu Azmi.

Beliau menambah, oleh kerana wujud percanggahan keputusan antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, jalan keluar terbaik adalah menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu sebagai penjaga agama Islam di negara ini.
Bidangckuasa Mahkamah Syariah juga, jelas beliau tidak boleh digugat oleh Mahkamah Sivil seperti termaktub dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

“Kami berpendirian menjaga maruah dan status agama Islam dinegara ini agar ia berada pada kedudukannya yang tertinggi, mengikut tafsiran Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan adalah penting agar keharmonian di negara ini terjamin,” ujarnya.

Belanja panda boleh bina 2000 rumah kos rendah


Belanja panda boleh bina 2000 rumah kos rendah

HARAKAHDAILY | 22 Mei 2014.

KUALA LUMPUR: Sikap kerajaan BN yang langsung tidak menghiraukan bantahan rakyat terhadap projek meminjam dua beruang panda dari China yang menelan belanja RM70 juta bagi tempoh 10 tahun terus menerima bantahan dan kritikan pelbagai pihak.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, kos RM25 juta untuk pembinaan ekshibit panda itu di Taman Wetland Putrajaya, RM3 juta bayaran tahunan kepada Kerajaan China selama 10 tahun berjumlah RM 30 juta, dan RM1.5 juta kos penjagaan tahunan oleh Zoo Negara selama 10 tahun bernilai RM15 juta,  adalah suatu pembaziran.

“Kerajaan membelanjakan wang rakyat bukan pada keperluan pada ketika rakyat sedang sengsara menanggung kenaikan kos sara hidup dan akan dikenakan GST bermula April tahun depan.

“Pada masa sama, masih ramai warga negara kita yang dikategorikan sebagai miskin dan miskin tegar tanpa memiliki sebuah kediaman atau kediaman yang lebih selesa untuk diduduki.

“Sebahagian besar daripada mereka juga tidak mendapat akses pendidikan kerana tidak berupaya menanggung yuran pengajian,” ujarnya.

Menurut beliau, pada 2010 kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati 1,387 gelandangan di sekitar Kuala Lumpur yang tidak mampu menyewa atau membeli rumah.

Dana RM7 juta setahun yang diperuntukkan kepada dua ekor panda itu, ujarnya mampu membina 200 rumah kos rendah berharga RM35,000 seunit.

“Dengan RM 7 juta setahun juga kerajaan mampu menanggung yuran pengajian 200 pelajar universiti tempatan. Bukankah melahirkan tenaga kerja berkemahiran lebih utama daripada dua ekor beruang panda yang dipinjam dari China?” soal beliau.

Beliau turut kesal dengan reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon ketika menjawab kritikan Pakatan Rakyat terhadap projek mewah itu apabila berkata: “Kalau pembangkan tidak setuju kerana kos mahal dan membazir, mereka perlu bercakap sendiri kepada Kerajaan China untuk tolak panda itu.”

Menurut Nurul Islam, kes menyewa panda ini memperlihatkan kegagalan dan ketidakupayaan kerajaan BN menguruskan perbelanjaan negara.

“Sekiranya beginilah cara kerajaan menguruskan pendapatan negara, perkenalkanlah 1001 cukai sekalipun ia tidak akan mencukupi dan ekonomi negara akan terus bermasalah.

“Itulah sebabnya Pakatan Rakyat menekankan kepada kerajaan BN agar memperbaiki cara perbelanjaan negara dan ketirisan terlebih dahulu sebelum mengenakan cukai GST.

“Tanpa perubahan ini, wang rakyat akan terus mengalir keluar dan negara tidak akan keluar dari kemelut kewangan,” ujarnya.

TG Nik Abdul Aziz bidas pensyarah kata hudud gagal


TG Nik Abdul Aziz bidas pensyarah kata hudud gagal

HARAKAHDAILY | 09 Mei 2014.

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas kenyataan pensyarah yang mengatakan hukum hudud gagal ekoran kegagalan pelaksanaan hukum jenayah syariah itu di beberapa buah negara.

Bagi beliau, tindakan pensyarah seperti itu bukannya mahu menghidupkan Islam sebaliknya mematikan agama itu.

“Ni pensyarah macam ni, para hadirin semua, pensyarah yang orang panggil nak perhidup Islam dak, nak mapuh Islam,” ujarnya ketika menyampaikan kuliah di Medan Ilmu, di sini pagi tadi.

Beliau berkata, pensyarah yang menyatakan demikian kerana dia berfikir ‘cara orang’ dan tidak memikirkan ‘cara Allah’.

“Para hadirin semua, kalau hudud ni gagal, sembahyang ni, kerana apa kita sembahyang?” tanya beliau kepada para hadirin.

Jelasnya, sembahyang boleh menyekat manusia daripada melakukan perkara keji.

Bagaimanapun, katanya dalam suasana orang mengerjakan sembahyang tetapi perkara yang keji seperti berjudi, rasuah dan masalah dadah berlaku juga.

“Sembahyang, sembahyang berjudi, berjudi, ertinya sembahyang ni gagal. Bila sembahyang ni gagal kerana benda keji, judi, dadah, rasuah berlaku jugak, tak usah duk sembahyang banglah. Sembahyang pun ada jugak benda mungkar. Bodoh pensyarah macam ni,” ujarnya sinis.

Beliau juga mengambil contoh di negara ini ramai yang djatuhi hukuman gantung kerana kesalahan berkaitan dadah dan senjata api.

Bagaimanapun, kata beliau kesalahan kes dadah dan membawa lari senjata api masih berlaku yang menunjukkan hukuman tersebut telah gagal.

Sehubungan itu, katanya, pensyarah agama hanya boleh menjelaskan mengenai hukum hudud tetapi tidak boleh melaksanakannya.

Di Kelantan, jelasnya ada kerajaan negeri yang mana exco terdiri daripada pensyarah, peguam, korporat dan lain-lain untuk melaksanakan hukum hudud.

Menurutnya, penentangan terhadap hukum hudud kerana tiada pengisian takwa akibat kelemahan dasar negara sekular.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu mengulangi penegasan tidak timbul PAS dan Umno bersatu berhubung isu hukum hudud.

Katanya, walaupun tarikh bulan Rejab dan Mei hari ini adalah sama bermula 1 haribulan Khamis lalu, namun bulan Hijrah tidak sama dengan Masihi.

“Hari ni hari Jumaat, 9 Rejab dan bulan ni tarikh dia serupa di antara bulan Hijrah dengan bulan Masihi, sama-sama 9.

“Oleh kerana sekarang timbul masalah hudud, sibuk sokong hudud, Umno sama dengan PAS, adakah bermakna PAS nak masuk Umno?

“Hari ni 9 haribulan, bulan Masihi 9 jugak, adakah bulan Hijrah sama dengan bulan Masihi, adakah bulan Masihi jadi bulan Hijrah, bulan Hijrah jadi bulan Masihi? Tak jadi, Rejab duk Rejab situ jugak, Mei duk Mei situ jugak,” ujarnya